Bahan-bahan Radioaktif

 Kesan-kesan Bahan Radioaktif dan Cara Mengendalikannya.

  Oleh : Nur Uyuni Shammimie Mohd Fisol


        Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Kedua, radioaktif bermaksud sesebuah atom yang memecah dan mengeluarkan sinar dalam bentuk zarah bercas elektrik yang dapat menembusi benda legap dan memberi kesan elektrik. Menurut buku teks Fizik Tingkatan 5, keradioaktifan bermaksud proses pereputan nukleus yang tidak stabil dengan memancarkan sinaran radioaktif untuk menjadi nukleus yang lebih stabil secara spontan dan rawak. 

    Terdapat tiga jenis sinaran radioaktif yang dikeluarkan oleh nukleus yang tidak stabil semasa pereputan iaitu zarah Alfa, zarah Beta dan sinaran Gamma. Radioisotop merupakan isotop dengan nukleus yang tidak stabil. Radioisotop akan mereput dan menyinarkan sinaran-sinaran radioaktif tersebut. Radioisotop mempunyai pelbagai kegunaan dalam setiap jenis bidang.

    Radioisotop digunakan dalam bidang perubatan bagi menjalankan radioterapi iaitu rawatan untuk pesakit kanser. Sinaran Gamma daripada Cobalt-60 akan dipancarkan bagi membunuh sel-sel kanser di dalam badan oleh sebab sinaran gamma mempunyai kuasa tembus dan kuasa pengionan yang tinggi. Selain itu isotop Fosforus-32 dan Strontium-92 akan mengeluarkan zarah Beta bagi merawat kanser kulit.

    Radioisotop juga telah digunakan secara meluas dalam bidang pertanian iaitu pengawalan serangga perosak. Sinar Gamma telah digunakan bagi membunuh kumbang dan serangga perosak dalam tumbuh-tumbuhan. Dos sinar Gamma yang dipancarkan akan memandulkan serangga perosak sekali gus dapat mengawal pembiakan serangga perosak itu.

    Kesan-kesan bahan radioaktif terhadap kehidupan seharian kita ialah kita akan terdedah kepada mutasi sel. Mutasi sel akan menyebabkan berlakunya mitosis yang tidak terkawal yang akan menyebabkan berlakunya kanser kepada seseorang. Bahan radioaktif juga akan memberikan kesan-kesan sampingan seperti rambut gugur dan mual.

    Bahan radioaktif juga akan mencemarkan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana, bahan-bahan radioaktif yang tidak terkawal ini akan menyebabkan kemusnahan tumbuh-tumbuhan dan hidupan akuatik. Kesannya, sumber makanan dan ekonomi setempat akan terjejas.

    Oleh itu, terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan bagi mengendali sisa-sisa bahan-bahan radioaktif. Antaranya ialah semua bahan radioaktif perlu disimpan dalam bekas berdinding plumbum setebal beberapa sentimeter. Seterusnya, label "sumber radioaktif" perlu dicatatkan dengan jelas beserta simbol radioaktif. Sumber radioaktif yang kuat perlu dikendalikan dengan alat kawalan jauh melalui skrin kaca plumbum manakala sumber radioaktif yang lemah boleh dikendalikan dengan penyepit. Pakaian pelindungan dan sarung tangan haruslah digunakan semasa mengendalikan bahan-bahan radioaktif. Sisa radioaktif haruslah ditanam atau dikendalikan mengikut aras-aras keradioaktifan bahan tersebut. 

    Kesimpulannya, bahan radioaktif dapat membantu aktiviti seharian kita namun bahan-bahan ini juga memberikan impak yang berbahaya sekiranya tidak dikendalikan dengan baik. Tuntasnya, kita perlulah mengendalikan bahan radioaktif seperti yang telah ditetapkan dengan kaedah-kaedah yang tertentu mengikut jenis bahan-bahan radioaktif tersebut. 

Comments